Wednesday, December 14, 2011

HUKUM SUAMI TIDAK MEMBERI NAFKAH ZAHIR DAN BATIN

Apabila sepasang lelaki dan wanita bernikah, maka kedua-duanya mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas pasangannya.

Antara tanggungjawab dan hak masing-masing ialah si isteri bertanggungjawab untuk melayan suaminya dan si suami pula bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isterinya.

Dalam persoalan hubungan kelamin, ia bukan hanya hak suami yang perlu ditunaikan oleh si isteri tetapi juga hak si isteri yang wajib ditunaikan oleh si suami.

Suami yang dengan sengaja tidak memberi nafkah batin dan kebendaan kepada isterinya tanpa sebab-sebab yang diterima oleh syara’ adalah berdosa.

Lazimnya semua pernikahan yang dilakukan di Malaysia berlaku dalam bentuk taklik, iaitu si suami akan menyatakan pernyataan bahawa jika dia atau warisnya tidak memberi nafkah kepada si isteri atau dia mencederakan si isteri, lalu si isteri mengadu ke Mahkamah Syariah dan didapati benar aduannya maka jatuhlah satu talak.

Atas dasar itu, isteri yang tidak mendapat nafkah zahir dan batin dari suaminya selama tiga bulan atau lebih bolehlah mengadukan kesnya ke Mahkamah Syariah. Untuk membawa kesnya ke Mahkamah Syariah, sebaiknya si isteri mendapatkan nasihat atau khidmat seorang peguam.

No comments:

Post a Comment